Friday, January 2, 2009

Alhamdulillah

Apabila bermulanya tahun baru, bermakna bermulalah kembali pusingan rutin harian saya sebagai guru. Saya akan kembali menumpukan perhatian saya kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas. Itu amanah rasmi saya. Amanah rasmi seorang guru penolong. Namun begitu, saya juga harus bersedia untuk melaksanakan tugasan-tugasan lain yang berkaitan dengan sekolah.

Pagi tadi telah diadakan Mesyuarat Guru Bil 1/09. Bermula jam lapan pagi. Mesyuarat pertama ini banyak berkisar kepada agihan tugasan guru yang telah ditentukan oleh pengurusan sekolah. Agihan tugasan ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu,
1. Pentadbiran dan Tugas Khas
2. Kurikulum
3. Hal Ehwal Pelajar
4. Kokurikulum

Setiap guru juga telah dibekalkan dengan Buku Panduan Administrasi Profesionalime Edisi 2009. untuk rujukan. Cantik, tersusun dan mudah difahami.

Sambil telinga mendengar taklimat tugas daripada pengetua dan tiga penolong kanannya, mata dan tangan saya terus membelek-belek helaian buku panduan. Setelah dibelek, didengar dan difahami, maka fahamlah saya bahawa saya pada tahun ini telah diamanahkan untuk melaksanakan tugasan berikut,
1. Jawatankuasa Kewangan Sekolah - Penyelaras Harta Modal & Inventori Kokurikulum
2. Jawatankuasa Kurikulum Sekolah - Ketua Panitia Sejarah
3. Jawatankuasa Pengurusan HEM - Setiausaha Insuran & Kebajikan
4. Majlis Kokurikulum - Setiausaha
5. Guru Penasihat Rumah Merah

Saya gembira dengan amanah ini. Insya Allah, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin. Sebelum ini, saya telah mempunyai pengalaman melaksanakan tugasan 2,3 dan 5. Sudah tentu pihak pengurusan mengharapkan penambah-baikan dalam tugasan tersebut. Pada waktu yang sama juga, pihak pengurusan menaruh keyakinan dan kepercayaan untuk saya memikul amanah baru iaitu tugasan 1 dan 4. Bagaimana bentuk tugas baru .. tunggu mesyuarat kokurikulum esok.

Blog ini akan mengisahkan pengalaman saya untuk dikongsi oleh pembaca daripada pelbagai bidang dan peringkat umur. Saya juga mengharapkan komentar pelbagai untuk menjadi renungan dan penambahbaikan kepada saya. Tetapi untuk tugasan rasmi saya sebagai Ketua Panitia Sejarah dan juga guru yang mengajar Sejarah, saya sediakan blog khas iaitu Blog Cikgu Sejarah Anda. Blog ini khusus untuk pelajar berkomunikasi secara maya dengan saya.

Semoga saya dan pembaca memperolehi manafaat yang diredhai Allah.

No comments:

Post a Comment